Sabtu

CUTI-CUTI SAIGON 31 JAN - 3 FEBRUARI 2013 Bah 1

Assalamualaikum,
           Jumpa lagi, kali ini mari berkongsi pengalaman bercuti di Ho Chi Minh atau nama glamournya Saigon.  Seperti biasa, tiket tambang murah ditempah 6 bulan lebih awal oleh kawan-kawan.  Hotel juga ditempah melalui Agoda oleh rakan-rakan yang sudah pergi ke sana sebelum ini.  Perjalanan dari KL ke HCM mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit sahaja.  Oleh sebab ahli rombongan ramai dan ada juga kanak-kanak dan 'mak buyung', jadi kami telah mengambil khidmat agen di sana yang akan membawa kami menjelajah Saigon selama 3 hari 2 malam.  Tiba sahaja di lapangan terbang, kami terus dijemput dan dihantar ke hotel. 





         Sesiapa yang berminat untuk menyumbangkan suara bolehlah berkunjung ke pusat karaoke yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sini.  Koleksi lagu yang disediakan...jangan tanya yer.  Kami teruja melihat pembangunan di sini.  Amat meleset tanggapan sebelum sampai ke sini sebab negara ini merupakan negara dunia ketiga yang baru sahaja membangun dan industri pelancongannya juga baru sahaja dikomersilkan.

       Hotel yang ditempah memang amat strategik kerana berhampiran dengan kedai makanan halal, lorong pasar malam dan lebih kurang 200 meter dari Pasar Ben Thanh.  Harganya juga berbaloi-baloi iaitu RM70++ untuk satu malam.  Sekadar untuk melelapkan mata, bagi saya itu sudah memadai sebab kita akan berjalan-jalan sepanjang hari .  Oleh sebab penerbangan kami tiba jam 7.30 malam, kami terus mencari kedai makan yang berdekatan dengan hotel selepas daftar masuk.
Menu citarasa Malaysia tapi mahal sikit la harganya.
          Sebenarnya kami hanya menggunakan khidmat agen pelancongan untuk mengambil dan menghantar ke lapangan terbang serta penjelajahan sehari ke Terowong Chuchi, Menyusuri Sungai Mekong dan bersiar-siar di atas kapal termasuk makan tengah hari dan minum malam pada hari tersebut.  Kosnya agak murah sebab kami perlu membayar RM200++ untuk pakej tersebut.

       Selesai makan, kami meninjau-ninjau di sekitar pasar malam, orang kata ingin meninjau harga barang dulu.  Mana yang berkenan boleh rembat sekali.  Seronok melihat gelagat orang ramai membeli-belah dan tawar-menawar.  Jangan risau mengenai bahasa, depa boleh bertutur dalam pelbagai bahasa sebab orang Malaysia memang ramai berbelanja di sana.  Selain itu, tidak perlu menukar banyak sangat RM kepada Dong sebab apa-apa matawang depa terima.  Terpulanglah nawaitu seseorang individu yang ingin ke sana sebab kami memang ingin menjelajah negara ini dan jika berkesempatan barulah kami membeli buah tangan untuk orang tersayang.  Berada di pasar malam di sepanjang lorong Pasar Ben Thanh ni terasa macam di Jalan TAR pulak sebab pusing sana orang Malaysia, pusing sini orang Malaysia.  Siap ada segerombolan pengunjung dari negara kita ni tumpang membeli t-shirt sebab kami mendapat tawaran harga yang memang berbaloi.. Semangat Malaysia Boleh!

        Dipendekkan cerita, keesokan harinya, sementara menunggu ahli rombongan bersiap, sempat juga kami meronda-ronda sekitar taman berhampiran dengan hotel.  Di sini, masanya lewat 1 jam dari waktu Malaysia.  Suasana pada waktu pagi di sini agak sibuk dan jumlah motosikalnya beribu-ribu.  Kebanyakan penunggang motosikal memakai topeng muka yang diperbuat daripada kain beraneka warna, jenis dan corak.  Sepanjang pengamatan saya semasa di sana, walaupun motosikalnya banyak tapi jarang pula berlaku perlanggaran antara kenderaan atau kemalangan.  



        Pagi itu, kami dibawa menyusuri Sungai Mekong dan terus ke beberapa buah pulau yang menempatkan tempat pemprosesan manisan yang diperbuat daripada kelapa dan macam-macam lagi.  Pelbagai barangan kraftangan juga dijual di sini seperti magnet peti ais, beg buatan tangan dan t-shirt serta madu.



       Pengunjung juga berkesempatan melihat sendiri sarang lebah-lebah yang dibela untuk mendapatkan madunya di sini.  Lebah-lebah di sini seolah-olah jinak dan tidak berterbangan.  Takut juga terkena sengat lebahkan!

bersambung.....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan