Ahad

HANOI OH HANOI BAH.2

HARI KE-3 - 
29 OKTOBER 2016

         Pada hari pertama semasa di Masjid Al-Noor, kami telah membuat tempahan untuk sarapan pagi sebab di hotel tempat kami menginap tidak menyediakan makanan halal.  Jadi tepat jam 7.00 pagi, pekerja restoran sudah menghantar makanan terus ke hotel kami.  Oleh sebab terlalu awal, jadi makanan yang ditapau dibawa bersama-sama hari ini.

         Penjelajahan kami diteruskan pada hari ke-3 ini ke Ha Long Bay.  Perjalanan hari ini memakan masa kurang lebih 4 jam.  Kami singgah sebentar di RnR di daerah Hai Duong untuk meluruskan pinggang dan melepaskan hajat.  Di sini ada dijual pelbagai barangan seramik, tenunan, beg dan barangan cenderamata. 
 
Bas yang besar dan selesa
Pekerja di RnR Hai Duong sedang tekun menghasilkan lukisan daripada benang tenunan


     Perjalanan diteruskan lagi dalam hujan gerimis.  Dua hari sebelum ini, cuaca agak panas tetapi menurut abang Trong (tour guide), dalam bulan Oktober ini, cuaca boleh berubah tiba-tiba.  Selepas selesai urusan mengambil tiket, kami dibawa menaiki bot dua tingkat yang boleh memuatkan 25 orang pada satu-satu masa.  Menurut abang Trong, bot yang kami naiki ini akan menerima tempahan walaupun yang menempahnya cuma seorang.  Tapi mahallah sewanyakan.
Seronok berbual-bual sambil menikmati pemandangan menarik di Ha Long Bay

Botnya cantik dan sangat selesa.
         Nyaman udara di sini, suhu hari ini sekitar 17 darjah celsius.  Setelah belayar selama 30 minit, barulah kami dibenarkan naik ke dek atas bot atas faktor keselamatan.



Sementara masing-masing berswafoto dan posing maut di atas dek, pramusaji  bot menyediakan hidangan makan tengah hari.  Banyak sungguh juadah yang disediakan.  Semuanya makanan laut. Fuhh.... bisa pecah perut gue kalok gini.
Menu - ketam rebus, ikan kukus, udang kukus, tauhu rebus, lala, sup kerang...

Teh panas dihidangkan selepas menjamu selera.

          Bot berlabuh di jeti dibina berhampiran dengan gua  Thien Cung @  the Palace Of Heaven Grotto and Dau Go Cave or Wooden Stake Grotto.  Jadi, kita perlulah mendaki anak-anak tangga untuk memasuki gua tersebut.  Macam gua yang ada di negara kita je cuma depa letak lampu sana-sini.  Nampaklah meriahlah suasananya.  Di dalam gua ini kita boleh lihat pelbagai bentuk batuan berupa macam-macam haiwan.  Selepas 1 jam meneroka dalaman dan luaran gua, kami kembali semula ke bot.  


Seronoknya kakak-kakak ni bersembang di atas dek bot.

Kami bertolak balik ke bandar Hanoi pada jam 5 petang.  Selesai sudah penjelajahan hari ke-3 hari ini dan awal pagi esok, kami akan pulang semula ke KL.  Pengembaraan yang menyeronokkan, santai dan memberikan pengalaman baharu kepada saya dan rakan-rakan.  Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya.  Jumpa lagi dalam entri seterusnya... Xian...aku datang!

Sayonara..

Khamis

HANOI OH HANOI

28 Oktober 2016 - Hari Pertama..
Assalamualaikum, berkurun sudah tidak kemas kini blog.  Pengembaraan tahun 2016 diteruskan dengan geng-geng yang memang sempoi.  Setelah mendarat dengan selamat  di Noi Bai International Airport dari KL ke HANOI - 2 jam ++) kami terus dibawa melawat ke beberapa tempat bersejarah di bandar Hanoi seperti di Ba Dinh Square,  Hoan Kiem Lake, The Huc bridge,  dan Dong Xuan market.  
Solat jamak Zuhur Asar di satu-satunya masjid di Hanoi.
Sesudah makan tengah hari, kami dibawa untuk bersolat di satu-satunya masjid di Bandar Hanoi iaitu Masjid Al-Noor.  Kebetulan hari tu hari Jumaat, jadi jemaah lelaki daripada pelbagai bangsa memenuhi kawasan tersebut. 
Dataran Pengistiharan Kemerdekaan
 Kami juga dibawa menikmati suasana malam di Tasik Hoan Kiem yang memang menjadi tumpuan pelancong luar dan tempatan.  Kakipun dah lenguh, setelah mentari menghilangkan diri, kami terus pulang ke hotel untuk melepaskan lelah.







29 OKTOBER 2016 - HARI KEDUA
Jom..jom.. hari kedua, kami akan menjelajah ke Tam Coc, meyelusuri sungai kecil yang dikelilingi bukit-bukit batu kapur.  Seriau juga naik sampan yang diperbuat daripada aluminium ni.  Memang tak dalam sangat sungai ni tapi, kalau jatuh, kuyup juga la..



Tenang dan nyaman betul udara di sini, pengalaman baharu la.. merasa juga mendayung sampan.. orang-orang sini menyatakan bahawa daerah ni macam ala-ala Guilin Vietnam gitu.


Macam biasa, berilah tips skit kepada nyonya yang mendayung tu.  Penat tengok depa mendayung mencari sesuap nasi. Hampir 2 jam juga la.. Kita yang tidak pernah mendayung ni lenguh juga la lengan ni..fuh..

Selepas menikmati juadah tengah hari yang enak, kamipun terus dibawa ke makam raja-raja kaum kerabat pemerintah di daerah ini. Di sini kita boleh tengok kerbau yang dihias cantik.  Sesiapa nak tunggang kerbau ni, kena bayar lah yer.

Berakhirlah penjelajahan untuk hari kedua.  Sebelum balik ke bilik, kami dibawa untuk menikmati makan malam di sebuah hotel yang menghidangkan makanan halal di Hanoi.
Jumpa lagi dalam entri seterusnya...












Sabtu

CUTI-CUTI SAIGON 31 JANUARI - 3 FEBRUARI 2013 Bah 2

Bahagian 2

Assalamualaikum,
      Bersua kembali..kita sambung kisah penjelajahan ke Saigon.  Pengembaraan diteruskan lagi.  


      Rombongan kami berkesempatan melihat sendiri manisan yang diperbuat daripada santan kelapa, diproses, dipotong dadu dan dibalut dengan pembalut mengikut perisa manisan tersebut.  Walaupun menggunakan tangan tetapi tangan pekerja di sini amat cekap dan cepat menggulung manisan-manisan tersebut, macam mesin.

      Rombongan kami juga dihiburkan  dengan nyanyian lagu-lagu tradisional Vietnam semasa kami berhenti rehat di sini dan disajikan dengan buah-buahan tempatan yang enak.  Pengunjung juga bolehlah menghulurkan derma seikhlas hati kepada penghibur jalanan ini atas persembahan yang menghiburkan itu.

  Seterusnya, tibalah masanya untuk kami menyusuri sungai kecil yang dipenuhi dengan pohon nipah dan pemandangan rumah rumah-rumah tradisional masyarakat tempatan.  Sebenarnya, seperti Sungai Golok je..
        Seronok juga rasanya berpengalaman menaiki sampan dan menyusuri sungai.  Kami juga diberi kesempatan merasai air kelapa muda dalam perjalanan pulang ke jeti sebelum meneruskan pengembaraan ke Terowong Chuchi.  Sebelum tiba ke terowong tersebut, kami singgah di RnR Mekong Rest Stop.  Cantik pemandangan di sini.



     Jauh juga perjalanan untuk ke terowong yang dimaksudkan dan jalannya juga berombak-ombak. Setelah 3 jam melalui jalan yang berombak-ombak itu, kami tiba di lokasi bersejarah di mana berlakunya revolusi kebangkitan masyarakat Vietnam menentang Amerika. 
Selesai membeli tiket, kami memasuki ruangan yang menempatkan pelbagai senjata dan kebanyakannya senapang yang telah digunakan semasa peperangan.  Di sini terdapat sebuah penempatan lengkap merangkumi dewan makan, dewan mesyuarat, hospital dan banyak lagi.  Amat mengagumkan apabila manusia berada dalam keadaan terdesak dan tertekan, mereka akan membuat apa-apa sahaja demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat mereka.  
            Agak ngeri juga melihat pelbagai perangkap yang digunakan untuk menentang musuh.  Masyarakat Vietnam pada ketika itu juga digambarkan  memiliki semangat kental kerana mampu membina terowong bawah tanah yang panjang, kecil dan hanya boleh memuatkan seorang sahaja untuk melaluinya.
Menyeramkan dan mengerikan..
            Keadaan dalam terowong ini amat gelap dan sejuk, sesiapa yang mengidap lelah dilarang memasukinya.  Adalah hamba Allah yang teruja dan memasuki terowong ini tanpa menyedari dia mengidap lelah, Belum sempat sampai di hujung terowong sudah kedengaran tangisan dan suara yang tersekat-sekat akibat sesak nafas dan ketakutan...Ingat!  Inilah akibatnya tidak mendengar arahan.

         Selesai sesi bebelan dan mengesat air mata, ahli rombongan dihidangkan dengan ubi rebus dan teh.  Sedap pula rasanya ubi kayu ni, mungkin sebab penat dan lapar kot.  Dalam perjalanan pulang ke bandar, semua peserta rombongan telah 'pengsan'.  Kami terus dibawa menikmati makan malam sebelum menaiki kapal besar setinggi 3 tingkat.
Menurut pemandu pelancong kami, makanan di atas kapal itu tidak terjamin kehalalannya.  Jadi dia membawa kami makan di sebuah restoran halal sebelum kami menaiki kapal tersebut.


      Seronok dapat bersantai di atas kapal ini.  Pengunjung juga akan dipersembahkan dengan pelbagai jenis hiburan dan setiap tingkat lain pula persembahannya..yang tidak syoknya ada juga tarian ala-ala gerudi inul.  Macam tidak sesuai pulak sebab bukan semua pengunjung di atas kapal ini orang dewasa.  Bahagian yang ditutup pula hanya bahagian atas dan sulit sahaja..
        Oleh sebab penerbangan pulang kami pada sebelah petang, jadi sebelum balik ke tanah air, sempatlah membeli-belah kain ela, telekung dan t-shirt. Beli jangan tak beli yer..  Pelbagai pakaian wanita ada dijual di pasar ini.  Anda perlu pandai menawar dan harganya memang murah berbanding di Malaysia.  Jadi, dapatlah juga 4-5 pasang baju kurung siap yang dirembat.  Balik ke rumah boleh terus pakai sebab baju tersebut sudah siap berjahit dan dipenuhi manik-manik yang bergemerlapan..sepasang baru RM40++.  Mana nak dapat tu di KL?  Kepada penggemar tudung Farida....banyak pilihan tudung tersebut di sini dan memang boleh borong 30-40 helai seban harganya memang eh..eh..

   Penat jari-jemari menaip ni.  Rasanya kita berjumpa lagi dalam ekspedisi akan datang.  Insyaallah...





CUTI-CUTI SAIGON 31 JAN - 3 FEBRUARI 2013 Bah 1

Assalamualaikum,
           Jumpa lagi, kali ini mari berkongsi pengalaman bercuti di Ho Chi Minh atau nama glamournya Saigon.  Seperti biasa, tiket tambang murah ditempah 6 bulan lebih awal oleh kawan-kawan.  Hotel juga ditempah melalui Agoda oleh rakan-rakan yang sudah pergi ke sana sebelum ini.  Perjalanan dari KL ke HCM mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit sahaja.  Oleh sebab ahli rombongan ramai dan ada juga kanak-kanak dan 'mak buyung', jadi kami telah mengambil khidmat agen di sana yang akan membawa kami menjelajah Saigon selama 3 hari 2 malam.  Tiba sahaja di lapangan terbang, kami terus dijemput dan dihantar ke hotel. 





         Sesiapa yang berminat untuk menyumbangkan suara bolehlah berkunjung ke pusat karaoke yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sini.  Koleksi lagu yang disediakan...jangan tanya yer.  Kami teruja melihat pembangunan di sini.  Amat meleset tanggapan sebelum sampai ke sini sebab negara ini merupakan negara dunia ketiga yang baru sahaja membangun dan industri pelancongannya juga baru sahaja dikomersilkan.

       Hotel yang ditempah memang amat strategik kerana berhampiran dengan kedai makanan halal, lorong pasar malam dan lebih kurang 200 meter dari Pasar Ben Thanh.  Harganya juga berbaloi-baloi iaitu RM70++ untuk satu malam.  Sekadar untuk melelapkan mata, bagi saya itu sudah memadai sebab kita akan berjalan-jalan sepanjang hari .  Oleh sebab penerbangan kami tiba jam 7.30 malam, kami terus mencari kedai makan yang berdekatan dengan hotel selepas daftar masuk.
Menu citarasa Malaysia tapi mahal sikit la harganya.
          Sebenarnya kami hanya menggunakan khidmat agen pelancongan untuk mengambil dan menghantar ke lapangan terbang serta penjelajahan sehari ke Terowong Chuchi, Menyusuri Sungai Mekong dan bersiar-siar di atas kapal termasuk makan tengah hari dan minum malam pada hari tersebut.  Kosnya agak murah sebab kami perlu membayar RM200++ untuk pakej tersebut.

       Selesai makan, kami meninjau-ninjau di sekitar pasar malam, orang kata ingin meninjau harga barang dulu.  Mana yang berkenan boleh rembat sekali.  Seronok melihat gelagat orang ramai membeli-belah dan tawar-menawar.  Jangan risau mengenai bahasa, depa boleh bertutur dalam pelbagai bahasa sebab orang Malaysia memang ramai berbelanja di sana.  Selain itu, tidak perlu menukar banyak sangat RM kepada Dong sebab apa-apa matawang depa terima.  Terpulanglah nawaitu seseorang individu yang ingin ke sana sebab kami memang ingin menjelajah negara ini dan jika berkesempatan barulah kami membeli buah tangan untuk orang tersayang.  Berada di pasar malam di sepanjang lorong Pasar Ben Thanh ni terasa macam di Jalan TAR pulak sebab pusing sana orang Malaysia, pusing sini orang Malaysia.  Siap ada segerombolan pengunjung dari negara kita ni tumpang membeli t-shirt sebab kami mendapat tawaran harga yang memang berbaloi.. Semangat Malaysia Boleh!

        Dipendekkan cerita, keesokan harinya, sementara menunggu ahli rombongan bersiap, sempat juga kami meronda-ronda sekitar taman berhampiran dengan hotel.  Di sini, masanya lewat 1 jam dari waktu Malaysia.  Suasana pada waktu pagi di sini agak sibuk dan jumlah motosikalnya beribu-ribu.  Kebanyakan penunggang motosikal memakai topeng muka yang diperbuat daripada kain beraneka warna, jenis dan corak.  Sepanjang pengamatan saya semasa di sana, walaupun motosikalnya banyak tapi jarang pula berlaku perlanggaran antara kenderaan atau kemalangan.  



        Pagi itu, kami dibawa menyusuri Sungai Mekong dan terus ke beberapa buah pulau yang menempatkan tempat pemprosesan manisan yang diperbuat daripada kelapa dan macam-macam lagi.  Pelbagai barangan kraftangan juga dijual di sini seperti magnet peti ais, beg buatan tangan dan t-shirt serta madu.



       Pengunjung juga berkesempatan melihat sendiri sarang lebah-lebah yang dibela untuk mendapatkan madunya di sini.  Lebah-lebah di sini seolah-olah jinak dan tidak berterbangan.  Takut juga terkena sengat lebahkan!

bersambung.....


Khamis

CUTI-CUTI MALAYSIA LANGKAWI - Bahagian 3

Assalamualaikum,

          Kita sambung penjelajahan ke Langkawi.. selesai bersarapan, kami terus ke Kuah sebab opah budak-budak ni ada memesan pemanggang ajaib pulak.  Untuk memenuhi hasrat bonda tercinta, kamipun pergi ke Idaman Suri sebab menurut adinda iparku jika ingin membeli pinggan mangkuk eloklah ke Idaman Suri.  Tetapi jika ingin membeli coklat elok ke Haji Ismail Group - bangunan baru bersebelahan hotel HIG.


Maaf banyak-banyak sebab semua gambar ni diperoleh daripada Uncle google yer..

pemanggang ajaib idaman opah.
                                           
Sedap juga coklat ini, untuk anak-anak buah
        Selesai membeli-belah, budak-budak minta ntuk mandi laut lagi.  Kali ini, sepupu mereka yang memang sudah bermastautin di sini turut serta.  Memang sudah rezeki, dapat juga mereka naik jetski percuma petang itu..

Sepupu sepapat - Pantai Tengah Langkawi.


Mandi hingga kecut
          Keesokan harinya kami daftar keluar seawal 7.00 pagi kerana feri akan bergerak pada jam 8.00 pagi.  Selesai pemeriksaan kastam, kami terus masuk ke perut feri.  Kami terus ke tingkat atas  dan membeli sandwic serta milo panas bagi mengalas perut.


    





        Begitulah berakhirnya percutian kami di Langkawi.  Semoga ketemu lagi dalam entri yang seterusnya...



CUTI-CUTI MALAYSIA LANGKAWI - Bahagian 2

Assalamualaikum,

             Kita sambung penjelajahan ke pulau lagenda Langkawi.  Kami selamat sampai di jeti Tanjung Lembung, Langkawi hampir jam 7.00 malam.  Selepas selesai pemeriksaan kastam dan permit kereta, kami terus bergerak ke Pantai Cenang di mana kami telah menempah bilik famili di Chalet Rasa Senang.  

Jeti Feri RORO di Tanjung Lembung
       Oleh sebab percutian bajet, jadi kira berbaloi jugalah bayaran bilik di sini untuk tiga malam lebih kurang RM200++.  Yang penting chalet ini berdekatan dengan kedai makan, berhampiran dengan kedai runcit dan jalan utama di Pantai Cenang.


Daftar masuk di sini dulu yer..

Bilik famili kami paling hujung sebelah kanan
       Selesai memunggah beg ke dalam bilik, kami mencari kedai makan dan bersiar-siar di sepanjang jalan utama Pantai Cenang.  Sekitar tahun 1990an dulu (masa belajo) kawasan ini masih tenang dan luas.  Namun kini, keadaan amat-amat berbeza dan rasa sesak nafaspun ada.  Bukan apa, jalan dah luas tetapi susunan dan deretan kedai yang ada bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan ini amat merimaskan.  Suasana macam di Phuketpun ada di sini.

    Perut sudah kenyang, kami balik ke chalet dan zzzzzzzz…

Keesokan harinya, kami ronda-ronda di Pekan Kuah dan di sebelah petang pula, kami bersantai di Pantai Cenang sebab budak-budak memang tidak sabar-sabar nak mandi laut.





Lepas mandi laut memang lapar la budak-budak ni..

Berinstagram la…teh tarik ye bukan the tarik…


        Kami juga singgah di Galeria Perdana dan Dataran Lang.  Ramai sungguh pelancong di Dataran Lang.  Semuanya cuba untuk merakamkan gambar dari pelbagai sudut.



Sebelum itu, sempat juga kami ronda-ronda di Tanjung Rhu.Malam itu kami dijemput untuk menikmati hidangan makan malam di  kedai makan sepupu Sang Suami [berdekatan Pusat Latihan Polis jalan ke lapangan terbang], ada orang nak belanja makan ikan bakar malam ni..alhamdulillah..

bersambung……..